Introduction

Firman Allah bermaksud,
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (Surah Al-Baqarah ayat 286)

Friday 17 September 2010

Ujian di penghujung PhD

Terlebih dahulu topik kali ini bukanlah hasil dari pengalaman saya sendiri. Tetapi ia merupakan hasil pemerhatian saya kepada rakan-rakan yang sedang bertungkus lumus mengharungi saat-saat kritikal dipenhujung PhD. Semoga ianya menjadi iktibar dan teladan buat kita yang bakal menempuh saat in kelak.

Setelah selesai membuat kajian literatur, ujikaji (bidang sains/kejuruteraan) atau kajian emprikal dan mempunyai keputusan-keputusan (results) yang memakan masa lebih kurang 2-3 tahun, proses penulisan dan perbincangan akan bermula. Di bahagian inilah, kekuatan penyelidikan harus ditekankan dalam bentuk perbandingan, arguments dan macam-macam kaedah lagi. Yang penting sumbangan (contribution) kita dalam bidang berkenaan ditulis dengan jelas.

Disamping tekanan untuk menulis tentang perkara-perkara yang dijelaskan di atas, terdapat perkara-perkara sampingan yang pastinya sedikit sebanyak menambahkan beban tekanan buat calon PhD ini. Setiap individu pastinya mempunyai masalah mereka yang tersendiri. Tidak terluah dek kata-kata. Apa yang mereka mampu buat hanyalah terus fokus dalam tugasan yang wajib mereka selesaikan, iaitu sekurang-kurangnya menyelesaikan penulisan tesis dan hantar ke pihak penilai. Ianya pastinya bukan suatu yang mudah. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Sebagai seorang rakan, kita seharusnya memberi sokongan kepada mereka. Jangan ditambah beban yang sedia ada di bahu mereka. Cuba fahami situasi mereka. Mereka yang dahulunya ceria dan sering tersenyum, kemungkinan bertukar watak menjadi pendiam dan penyepi. Mereka yang dahulunya sering bercampur dengan masyarakat, kemungkinan memencilkan diri. Jika kita tahu mereka sedang berhadapan dengan ujian di penghujung PhD ini, seharusnya kita banyakkan bersabar dan berdoa agar Allah permudahkan semua urusan mereka, leraikan segala simpulan yang mengusutkan mereka dan berikanlah kejayaan kepada mereka. Jangan dikusutkan fikiran mereka, jangan membuat sebarang spekulasi tentang mereka, jangan ditanya soalan-soalan yang sensitif kepada mereka. Jika kita tidak mahu disakiti, janganlah kita menyakiti hati orang lain. Saya juga masih sedang cuba mendidik diri agar menjaga kata-kata terutama gurauan.. yang kadangkala secara kita tidak sedar telah menyakiti hati orang lain.

Giliran saya juga pastikan sampai. Dan saya berdoa agar rakan-rakan yang saya kasihi akan membantu dan menyokong saya. Ya Allah, berikanlah saya kejayaan sebagaimana Engkau telah berikan kejayaan kepada rakan-rakan saya yang lain... Ameen

No comments:

Post a Comment