Introduction

Firman Allah bermaksud,
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (Surah Al-Baqarah ayat 286)

Monday 13 September 2010

Cabaran bila akhirnya Ramadhan dan menjelangnya Syawal

Alhamdulillah...

Bersyukur saya kehadrat Ilahi, tahun ini dapat saya berjumpa Ramadhan dan kini Syawal. Ia merupakan tahun ke-3 saya dan keluarga menyempurnakan ibadah puasa dan meyambut raya diperantauan. Walaubagaimanapun, raya tahun ini, kami sambut dengan penuh kelainan dari tahun-tahun sebelum ini. Pada tahun 2008 dan 2009, kami beraya di Leicester bersama penuntut-penuntut postgraduate di University of Leicester. Jika diimbau kembali, pada tahun 2008, kami beraya bersama kedua orang tua kami (sebelah suami)(Hj Zainuddin dan Hjh Khadijah) manakala pada hari raya tahun 2009, kami beraya bersama bonda Hjh Khatijah. Suatu nikmat yang amat besar yang Allah berikan kepada kami sekeluarga... Alhamdulillah..

Solat hari raya di Kelab Melayu London: Ringkas dan ceria

Tahun 2010, hari raya (1 Syawal 1431H) jatuh pada hari Jumaat, bersamaan 10 September 2010. Kami telah beraya di rumah ibu saudara di East London. Suatu pengalaman yang tidak dapat kami lupakan. Pagi raya, kami telah pergi solat hari raya Aidilfitri di Kelab Melayu London di 100 Cricketfield Rd, Clapton, London. Ianya disambut serba sederhana, tiada lagu raya yang berkemudang... Bermula dengan takbir, solat, khutbah, doa, bermaaf-maafan dan jamuan. Ringkas tapi meriah. Sudah cukup bagi kami. Di sini kami telah berjumpa dengan ramai orang melayu (warga emas) yang telah menetap di UK lebih dari 40 hingga 50 tahun. Menurut ibu saudara kami, salah seorang dari mereka telah datang ke UK dengan menaiki basikal melalui Thailand dan seterusnya... dan akhirnya London. Kebanyakan mereka adalah kelasi-kelasi kapal yang telah menetap lama di sini. Lebih seronok lagi apabila pakcik-pakcik atau atok-atok ini telah memanggil anak-anak kecil untuk memberi duit raya. Pertama kali buat anak-anak kami merasa mendapat duit raya di UK. Di sini jelas kelihatan adat memberi duit raya kepada kanak-kanak tetap sebati dalam jiwa mereka. Terubat rindu kami pada kampung halaman di Malaysia...

Antara sedikit sebanyak sejarah kelab ini adalamh seperti berikut:

Sejarah kelab Melayu di London di tubuhkan sejak 30 tahun dahulu. Dahulunya kelab Melayu ini adalah bagi orang-orang Melayu di London, bertemu dan beramah mesra. Orang-orang Melayu tersebut adalah mereka yang datang ke UK sebagai angkatan kelasi kapal dan warga buruh datang ke London mencari kerja serta ada yang menyambung pelajaran dan secara langsung dapat membantu keluarga yang susah di Malaysia. Kebanyakan mereka yakni semuanya lelaki berkahwin dengan wanita tempatan di UK; Mek Salleh.

Kini, setelah 30 tahun berlalu, mereka sudah tua-tua belaka. Anak-anak mereka pun dah besar-besar belaka dan hidup dengan keluarga masing-masing. Manakala di Kelab Melayu inilah tempat yang dikunjung walaupun pada hari-hari biasa dan menjadikan aktiviti harian yang utama bagi mereka. Cuma aktivitnya minum-minum teh tarik, berbual-bual dan bersembahyang berjemaah. Bukannya mereka tidak mahu pulang semula ke Malaysia secara tetap, kerinduan pada tanah air tidak dapat mereka lupai. Tetap di lubuk hati tanahair adalah yang utama bersama keluarga dan sanak saudara.

Di ambil dari petikan di blog ini.

Majlis Rumah Terbuka di Penginapan Rasmi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Rumah Malaysia
Aktiviti kami seterusnya ialah menghadiri Majlis Rumah Terbuka di Penginapan Rasmi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Rumah Malaysia, di Templewood Garden, London. Suasana rumah terbuka di sini amat meriah dengan juadah nasi minyak, kambing golek dan kuih-muih yang beraneka jenis.

Kunjung-mengunjung
Pada sebelah malam, kami telah makan malam di rumah teman ibu saudara kami, warga Bangladesh dan isterinya seorang warganegara Pakistan. Kami dijamu dengan mee goreng dan nasi beryani bersama-sama dengan anak-anak mereka seramai 3 orang dan cucu mereka. Alhamdulillah, kami dapat menumpang kasih dengan kemesraan dan kasih sayang yang diberikan kepada kami dan ibu saudara kami.

Ziarah-meziarahi
Pada 11 September 2010, kami berangkat pulang ke rumah. Alhmdulillah kami sempat menziarahi rumah seorang sahabat kami yang sedang menjamu ahli-ahli persatuan tempat kami. Akhirnya, sempat kami berjumpa dengan rakan-rakan kami di sini dan saling bermaafan.

Batasan beraya
Di samping kita seronok beraya dan berkunjung-kunjugan di bulan Syawal ini, kita sering lalai dan leka dengan adab percakapan dan tingkah laku kita. Kita hanya rasakan seronok dapat makan pelbagai jenis makanan sehinggakan kita tidak menjaga sikap kita dan mengamalkan apa yang disarankan atau dituntut oleh agama Islam dalam bulan yang mulia ini. Boleh lihat saranan tersebut di tazkirah Ramadhan-Syawal oleh Al-Fadhil Ustaz Zaharuddin bersama warga Masleics.









Alangkah mulia bulan Syawal ini. Alangkah rindunya hati ini dengan bulan Ramadhan. Bulan di mana semua umat Islam berkejar-kejar mengerjakan ibadah kepada Allah dan mengaharapkan pertemuan dengan malam Lailatul Qadar. Dari itu, wahai pembaca-pembaca dan teman-teman yang dikasihi, termasuk juga diri ini, jagalah lidahmu dalam menuturkan kata-kata, jagalah tangan dan matamu dari melakukan perbuatan maksiat. Dari kata-katamu, orang boleh mengetahui isi hatimu. Sesungguhnya diam itu lebih baik dari berkata-kata perkara yang lagha.

Pohonlah maaf dengan penuh keikhlasan dan jangan ulangi kesilapan yang sama, jangan sakiti hati ibu, bapa, saudara mara, dan teman setelah kita memohon maaf dari mereka.

Ya Allah, bantulah diriku mengawal lidahku dan perbuatanku.. Jauhkan diri ini dari perasaan prasangka buruk dan mengumpat serta perbuatan yang menyakiti hati orang lain. Moga Allah berkati hubungan baik antara kami dan moga ukhuwah inikan kekal hingga ke Syurga... Ameen

No comments:

Post a Comment