Introduction

Firman Allah bermaksud,
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (Surah Al-Baqarah ayat 286)

Wednesday 27 October 2010

Cabaran antara Manusia dan Alam

Petikan dari Surah Isra ayat 12 hingga ayat 17.

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

وَجَعَلۡنَا ٱلَّيۡلَ وَٱلنَّہَارَ ءَايَتَيۡنِ‌ۖ فَمَحَوۡنَآ ءَايَةَ ٱلَّيۡلِ وَجَعَلۡنَآ ءَايَةَ ٱلنَّہَارِ مُبۡصِرَةً۬ لِّتَبۡتَغُواْ فَضۡلاً۬ مِّن رَّبِّكُمۡ وَلِتَعۡلَمُواْ عَدَدَ ٱلسِّنِينَ وَٱلۡحِسَابَ‌ۚ وَڪُلَّ شَىۡءٍ۬ فَصَّلۡنَـٰهُ تَفۡصِيلاً۬ (١٢) وَكُلَّ إِنسَـٰنٍ أَلۡزَمۡنَـٰهُ طَـٰٓٮِٕرَهُ ۥ فِى عُنُقِهِۦ‌ۖ وَنُخۡرِجُ لَهُ ۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ ڪِتَـٰبً۬ا يَلۡقَٮٰهُ مَنشُورًا (١٣) ٱقۡرَأۡ كِتَـٰبَكَ كَفَىٰ بِنَفۡسِكَ ٱلۡيَوۡمَ عَلَيۡكَ حَسِيبً۬ا (١٤) مَّنِ ٱهۡتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَہۡتَدِى لِنَفۡسِهِۦ‌ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيۡہَا‌ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ۬ وِزۡرَ أُخۡرَىٰ‌ۗ وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبۡعَثَ رَسُولاً۬ (١٥)

Maknanya:

Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari) dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya. (12) Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya). (13) (Lalu Kami perintahkan kepadanya): Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan). (14) Sesiapa yang beroleh hidayat petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja) dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (15)


Alhamdulillah, tazkirah online pada 20/10/2010 telah dapat di'record' dengan jayanya. Tazkirah yang disampaikan oleh Al-Fadil Ustaz Izzam membicarakan mengenai cabaran antara manusia dan alam. Tazkirah ini terbahagi kepada 14 bahagian. Ini kerana terdapat kesilapan dari pihak editor (iaitu saya) yang masih agak baru dengan cara upload audio/video ke youtube. Mohon maaf atas sebarang kesulitan.

Di sini saya kongsikan ilmu yang bermanfaat kepada pembaca-pambaca sekelian... Mudah-mudahan ianya akan menjadi ingatan dan panduan kepada kita dalam menguruskan alam dan kehidupan kita.

Bahagian 1



Bahagian 2



Bahagian 3



Bahagian 4



Bahagian 5



Bahagian 6



Bahagian 7



Bahagian 8



Bahagian 9



Bahagian 10



Bahagian 11



Bahagian 12



Bahagian 13



Bahagian 14



Sebahagian gambar-gambar yang terdapat dalam video di atas adalah pemandangan yang diambil sewaktu kami di Switzerland dan Vennice, Italy. Teramat indah alam ciptaan Allah... Alhamdulillah...

Sekian... Moga perkongsian ilmu ini dapat memberi manfaat kepada semua...Wassalam..

Monday 18 October 2010

Cabaran buat Umat Islam di Palestine...

Ketika mendengar satu tazkirah baru-baru ini berkaitan dengan tafsiran Surah Al-Isra', hati ini tiba-tiba berasa sayu... dan bersalah... mendengar dan cuba membayangkan keadaan umat Islam di Palestine.

Satu demi satu, ayat demi ayat dalam Surah Al-Isra' ditafsirkan dengan begitu teliti oleh Al-Fadhil Ustaz Izzam. Menerangkan bagaimana kaum Yahudi yang sering menindas umat Islam sejak dari dahulu lagi sehinggalah ke era ini. Walaubagaimanapun, Allah telah menerangkan dengan jelas di dalam Surah ini... Bahawa pada suatu ketika nanti, umat Islam di Palestine pastinya akan bebas dan meraih kemenangan.

Di sini saya sertakan makna ayat-ayat dalam Surah Al-Isra' bermula dari ayat pertama hingga ayat kelima.

Al-Isra
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (1) Dan Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab Taurat dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk bagi Bani Israil (serta Kami perintahkan mereka): Janganlah kamu jadikan yang lain daripadaKu sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu kepadanya). (2) (Wahai) keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh (di dalam bahtera)! Sesungguhnya dia adalah seorang hamba yang bersyukur. (3) Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. (4) Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu) dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku. (5)

Apakah yang boleh kita lakukan?

Kita berada nun jauh dari negara Palestine, Afghanistan, Pakistan dan negara-negara Islam lain yang sering berhadapan dengan ujian peperangan, kelaparan, kesusahan dan masalah-masalah lain. Hanya berita-berita di website dan media-media elektronik sahaja yang memberitahu kita status terkini dan situasi mereka di sana. Namun, kemungkinan terdapatnya unsur propaganda dalam berita yang disampaikan pasti tidak dapat dielakkan.

Walauapapun, yang pasti, rakyat Palestin termasuk kanak-kanak dan wanita, turut berjuang memepertahankan tahanair mereka. Cukup jelas kita lihat di wajah mereka penderitaan dan keperitan yang mereka tanggung dari kezaliman tentera-tentera Israel. Anak-anak kehilangan ibu bapa mereka dan nasib wanita yang tidak terbela, semuanya akibat sikap rakus Israel. Apa yang boleh kita lakukan? Menurut Ustaz Izzam, antara perkara-perkara yang boleh kita lakukan ialah:

1) Berdoa dan terus berdoa kepada Allah agar diselamatkan negara Palestine dan rakyat-rakyatnya dari pihak-pihak yang zalim.

2) Hulurkan bantuan kewangan kepada mereka agar dapat membantu pembiayaan rawatan/perubatan kepada mangsa-mangsa yang tercedera, membela nasib kanak-kanak dan wanita dari segi makanan, tempat tinggal dan pakaian.



Berikutan ini, Alhamdulillah kumpulan adik-adik undergrad dari University of Leicester akan menganjurkan suatu majlis yang dinamakan Night of Palestine yang diadakan pada 30th Oktober 2010 di Leicester. Program ini merupakan salah satu projek-projek Misi Kasih Palestin MSM yang akan menyalurkan semua hasil derma 100% ke Palestine. Sungguh murni hati pengusaha-pengusaha program ini. Moga Allah memberikan ganjaran yang paling baik buat mereka.

InsyaAllah dengan projek-projek seperti ini, sedikit sebanyak kita dapat meringankan beban yang ditanggung oleh umat Islam di Palestine. Mudah-mudahan peperangan ini akan berakhir dengan majoriti kemenangan di pihak umat Islam. Ya Allah makbulkan semua doa dan permintaan umat Islam... Ameen

Akhir kata, dengarkanlah sebuah puisi yang cuba mengupas suara hati seorang kanak-kanak lelaki di bumi Palestine...

Monday 11 October 2010

Moga Mendapat Haji yang Mabrur

Alhamdulillah... Tanggal 9 Oktober 2010 yang lalu, penerbangan buat bakal-bakal haji telah bermula. Diberitakan pihak Malaysia di Mekah telahpun bersedia menerima kunjungan ribuan jemaah haji. Moga semua urusan mereka dipermudahkan Allah. InsyaAllah, 6 dari anggota keluarga saya termasuk Ibu, Abang Sulung dan isteri, Kakak (kedua) dan Abang (keempat) dan isteri antara jemaah haji yang akan bertolak ke Mekah pada 26 Oktober 2010 bersamaan 17 Dhul Qa'ida 1431H. Walaupun diri ini tidak dapat menyaksikan pemergian mereka atau membantu apa-apa, di dalam hati ini sentiasa mengharapkan agar mereka semua dikurniakan kesihatan dan keselamatan yang baik sepanjang berada di sana dan dipermudahkan segala urusan mengerjakan ibadah haji.

Buat bakal-bakal haji dan hajjah, di sini terdapat sedikit informasi berkaitan cara-cara mengerjakan ibadah haji yang saya rasakan amat menarik untuk dikongsi. Ini kerana penerangan yang diberikan amat jelas berserta dengan cara-cara berbentuk praktikal yang perlu dilakukan sepanjang menunaikan haji dan umrah.

Part 1



Part 2



Part 3



Part 4



Entry kali ini diakhiri dengan doa yang hanya mampu dipanjatkan buat semua tetamu-tetamu Allah, didoakan agar jemaah-jemaah haji ini mendapat haji yang mabrur. Ya Allah kurniakan kesihatan dan keselamatan yang baik buat mereka sepanjang mengerjakan ibadah haji ini. Permudahkan semua urusan mereka. Dan moga mereka semua selamat pergi dan selamat kembali semula ke tahan air.

Buat anak-anak dan keluarga jemaah haji ini, saya sediakan link kepada website kerajaan Saudi Arabia yang mana kita boleh saksikan lintas langsung dari Mekah. InsyaAllah sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan kepada orang-orang tersayang.

SIARAN LANGSUNG DARI MEKAH

Friday 8 October 2010

Cabaran Dalam Menjaga Adab-Adab Menuntut Ilmu

Mencari ilmu merupakan suatu perkara yang menjadi tuntutan di dalam agama Islam. Banyak dalil yang menunjukkan bahwa menuntut ilmu itu hukumnya wajib, baik yang bersumber dari Al-Qur’an dan hadis Nabi Saw. mahupun dari fatwa ulama. Alhamdulillah, kali ini saya kongsikan beberapa adab-adab dalam menuntut ilmu agama yang diambil dari petikan di sini.

Adab 1: Ikhlas dalam menuntut ilmu.

Sepertimana amalan-amalan yang lain, langkah yang pertama adalah keikhlasan diri. Langkah ini merupakan faktor yang amat penting sehinggakan Rasulullah telah memberi amaran:

“Sesiapa yang mempelajari satu ilmu yang sepatutnya dilakukan kerana mencari Wajah Allah, namun dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan keuntungan duniawi, maka dia tidak akan mencium bau syurga pada Hari Kiamat.”

[Maksud hadis riwayat Ibn Hibban dan ia dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban (Muassasah al-Risalah, Beirut, 1997), hadis no: 78].

Oleh kerana itu dalam sebuah hadis yang lain, baginda mengingatkan:

“Jangan mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para ulama’, atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau untuk memilih majlis yang terbaik (demi mendapat pujian orang). Sesiapa melakukan hal itu maka nerakalah tempatnya.”

[Maksud hadis riwayat Ibn Hibban dengan para perawi yang dipercayai lagi sahih, demikian terang Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban, hadis no: 77].

Justeru orang yang ingin memahami agama perlu membetulkan niat dan tujuannya. Hendaklah dia melakukannya kerana:

1. Ingin memperbaiki diri dalam mentauhidkan Allah sebagai merealisasikan bahagian pertama syahdah: “La ilaha illallah”.
2. Ingin memperbaiki diri dalam mengamalkan sunnah Rasulullah sebagai merealisasikan bahagian kedua
syahdah: “Wa anna Muhammad Rasulullah”.
3. Ingin memperbaiki keadaan umat Islam sebagai merealisasikan tuntutan amar ma’ruf dan nahi mungkar yang
merupakan salah satu tuntutan asas agama.
4. Ingin membela agama Islam daripada fitnah musuh-musuhnya seperti para orientalis dan para pencipta bid’ah.

Sesiapa yang memiliki niat dan tujuan yang betul sepertimana di atas, dia tidak sekali-kali akan terkalah dengan pelbagai cubaan dan fitnah yang mungkin dihadapinya dalam rangka memahami agama Islam. Ini kerana:“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”[Maksud surah Muhammad, ayat 7]

Adab 2: Positif dan Yakin kepada diri sendiri.

Sikap yang positif dan keyakinan diri adalah faktor yang penting untuk mencapai sesuatu tujuan. Faktor ini tidak terpisah bagi sesiapa yang ingin memahami agama yang dicintai ini. Bahkan ketahuilah bahawa sesiapa yang berusaha dengan ikhlas untuk tujuan ini, maka Allah akan membimbingnya, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” [al-Ankabut, ayat 69]

“Pimpinan” Allah boleh wujud dalam pelbagai bentuk, seperti dipertemukan dengan guru yang benar, ditunjuki kepada buku daripada penulis yang jujur, dipersahabatkan dengan orang-orang yang shalih, dibimbing kepada subjek-subjek yang mengikut tertib kepentingannya dan ditanam dalam dirinya akhlak yang mulia apabila berinteraksi dengan ilmu agama. Oleh itu janganlah merasa ragu-ragu atau rendah diri untuk berusaha memahami agama Islam. Yakinilah bahawa Allah akan memimpinnya selagi mana dia ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Adab 3: Bersiap sedia untuk melakukan pengorbanan.

Tidak ada jalan pintas (short cut) untuk memahami agama Islam, maka janganlah mengharapkan kefahaman dalam agama secara serta merta atau melalui jalan yang mudah. Sebaliknya hendaklah bersiap sedia untuk melakukan banyak pengorbanan dari sudut tenaga, masa, kewangan dan kehidupan. Proses menuntut ilmu sememangnya memerlukan banyak pengorbanan dan hal ini diketahui oleh Rasulullah. Oleh itu baginda menjanjikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang melakukan pengorbanan tersebut dengan bersabda, maksudnya:

“Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu,maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.”
[Riwayat Muslim dalam Shahihnya (penomboran Fu’ad Abd al-Baqi), hadis no: 2699].

Pengorbanan dari sudut tenaga dan masa adalah berusaha untuk ke kelas-kelas pengajian agama sekalipun kesibukan atau keletihan dengan kuliah di universiti atau kerja di pejabat. Pengorbanan kewangan adalah membelanjakan wang ringgit untuk membeli buku-buku agama yang berkualiti. Ini adalah pengorbanan yang tidak boleh ditinggalkan, dimana setiap yang ingin memahami agama Islam perlu mencintai buku dan berusaha membina koleksi buku-buku agama atau perpustakaan peribadi yang tersendiri.

Namun di antara semua pengorbanan, yang terbesar adalah pengubahsuaian gaya hidup. Tidur perlu dikurangkan, gizi pemakanan perlu dijaga dan aktiviti harian yang sia-sia perlu dihindari. Sedar atau tidak, terdapat banyak aktiviti harian yang sebenarnya adalah sia-sia seperti mengikuti acara sukan, membaca akhbar harian, menonton televisyen dan berbual kosong. Semua ini hendaklah diubah kepada bersukan demi menjaga kesihatan, menelaah akhbar harian sekadar mencari laporan yang bermanfaat, menghadkan tontonan televisyen kepada dokumentari yang ilmiah dan berbual sekadar menyampaikan nasihat. Pengubahsuaian ini akan membuka banyak masa lapang yang dapat dimanfaatkan untuk memahami agama Islam.

Adab 4: Tidak mengenal titik noktah.

Semua orang yang melazimkan diri berinteraksi dengan ilmu akan mengetahui bahawa ia sentiasa dinamik tanpa mengenal titik noktah. Maka demikianlah juga seharusnya sikap setiap muslimin dan muslimah yang ingin mencari kefahaman agama. Tidak boleh berkata “Saya sudah habis belajar agama” atau “Saya sudah faham Islam”. Sebaliknya hendaklah sentiasa mengkaji dan menganalisa kerana ilmu agama juga adalah sentiasa dinamik. Bak kata pepatah:

“Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.”

Perhatikan doa yang diajar oleh Allah kepada Rasulullah, yang bermaksud:

Dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”. [Ta-Ha, ayat 114]

Perkataan “tambahilah” menunjukkan ilmu itu tidak mengenal batas maksimum, sebaliknya sentiasa dinamik sehingga boleh bertambah dan bertambah.

Memiliki manhaj yang dinamik dalam rangka memahami agama setidak-tidaknya memiliki kepentingan dari dua sudut:

Pertama: Pada masa kini terdapat banyak ajaran yang menyeleweng, setiap darinya berselindung di sebalik slogan “Ahli Sunnah Wal Jamaah” agar kelihatan berada di atas jalan yang benar. Seandainya seseorang itu tergelincir dalam salah satu daripada ajaran yang menyeleweng, sikap dinamiknya yang sentiasa mengkaji dan menganalisa akan mengeluarkan dirinya daripada ajaran tersebut kepada ajaran yang benar.

Kedua: Seseorang yang berusaha memahami agama akan melalui beberapa tahap, daripada tahap kebudak-budakan sehinggalah kepada tahap kedewasaan. Ini kerana dalam rangka melakukan kajian, dia akan menemui banyak perkara baru yang tidak pernah diketahuinya sebelum itu. Penemuan ini akan menjana semangat baru dalam dirinya. Terdapat kemungkinan yang besar semangat tersebut akan mengarah dirinya kepada sikap merasa dirinya amat berilmu (ujub), memandang rendah para ulama’ dan mudah menghukum orang yang tidak sependapat dengannya. Inilah sikap kebudak-budakan yang saya maksudkan.

Di sini manhaj dinamik amatlah perlu dimana sikap yang sentiasa mengkaji dan menganalisa akan mengalih seseorang itu dari tahap kebudakan-budakan ke tahap kedewasaan. Tahap kedewasaan akan mengarah kepada sikap merendah diri berdasarkan keinsafan bahawa ilmu agama sebenarnya amat luas, sikap menghormati para ‘ulama berdasarkan kesedaran bahawa terdapat banyak faktor lain yang mereka pertimbangkan dan terbuka kepada dialog berdasarkan mata yang celik kepada hakikat berbeza pendapat adalah fitrah manusia.

Adab 5: Mengamalkan ilmu.

Usaha untuk memahami agama Islam bukanlah sekadar class room discussion, akan tetapi ia adalah untuk diamalkan. Ilmu tanpa amalan adalah sesuatu yang dibenci oleh Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” [al-Saff, ayat 2-3]

Malah ia adalah faktor yang boleh menyebabkan hati menjadi keras sehingga tidak dapat lagi menerima apa-apa manfaat daripada ilmu. Firman Allah:

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka.” [Maksud surah al-Hadid, ayat 16]

Sebaliknya orang yang mengamalkan ilmunya akan ditambahi oleh Allah dengan ilmu dalam pelbagai bentuk. Orang yang berusaha memahami agama Islam akan meningkat keimanannya dan iman itu sendiri adalah apa yang dibuktikan dengan hati, lidah dan perbuatan. Keimanan seperti ini akan ditambahi oleh Allah dengan hidayah-Nya, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“……sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah.” [Maksud surah al-Kahf, ayat 13]

Orang yang mengamalkan ilmu juga bererti mengamalkan hidayah yang Allah kurniakan kepadanya. Dengan itu Allah akan menambah hidayah tersebut sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang menerima hidayah, Allah menambahi mereka dengan hidayah, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.” [Muhammad, ayat 17] “Dan Allah akan menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk.” [Maryam, ayat 76]

Orang yang mengamalkan ilmu juga bererti meningkatkan ketaqwaannya, maka dengan itu Allah akan mengurniakan kepadanya al-Furqan yang membolehkan dia membezakan antara yang benar dan batil. Allah akan juga menambahi Rahmat-Nya dan memberikannya cahaya untuk terus berada di atas jalan yang benar. Perhatikan dua firman Allah berikut yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (al-Furqan) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.” [al-Anfal, ayat 29]

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya, serta diampunkannya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Hadid, ayat 28]

Adab 6: Berhubung dengan orang yang berhubung dengan ilmu.

Siapa kita berhubung, siapa kita berkawan, memiliki pengaruh yang besar kepada perwatakan diri kita sendiri. Rasulullah pernah mengingatkan, maksudnya:“Sesungguhnya perumpamaan teman yang soleh dan teman yang buruk hanyalah seumpama pembawa minyak wangi dan peniup tungku api seorang tukang besi. Bagi pembawa minyak wangi, boleh jadi sama ada dia memberinya kepada kamu (minyak wangi) atau kamu membeli daripadanya (minyak wangi) atau kamu mendapat bau harum daripadanya. Bagi peniup tungku api seorang tukang besi, boleh jadi sama ada ia akan membakar pakaian kamu (kerana kesan tiupan api) atau kamu mendapat bau yang tidak sedap daripadanya (bau besi).” [Diriwayatkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2628].

Oleh itu sesiapa yang berusaha untuk memahami agama Islam hendaklah sentiasa berhubung dengan orang-orang yang perhubungannya sentiasa bersama ilmu. Mereka adalah orang-orang yang perhatiannya sentiasa kepada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, usahanya sentiasa kepada mengkaji kitab-kitab peninggalan para ulama’ dan pemikirannya sentiasa ke arah memperbaiki keadaan umat Islam dan menjaga kemurnian agama Islam.

Di antara mereka ialah para alim ulama’ dan guru-guru, maka hendaklah memuliakan mereka, mendengar nasihat mereka dan mengikuti jejak langkah mereka. Seandainya mereka berbuat salah, hendaklah menasihati mereka secara sopan dan tersembunyi, tidak secara kasar dan terbuka kepada orang ramai. Di antara mereka adalah orang-orang yang dalam proses memahami agama Islam, maka hendaklah menjadikan mereka sebagai sahabat karib, selalu meluangkan masa berkongsi ilmu, bertukar-tukar pendapat dan saling menasihati.

Adab 7: Berdoa Kepada Allah.

Setiap usaha perlu diikuti dengan doa dan usaha untuk memahami agama Islam tidak terpisah daripada adab ini. Maka hendaklah berdoa kepada Allah dan sebaik-baik doa adalah apa yang diajar oleh Allah dan Rasul-Nya. Antaranya:

“Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.” [Maksud surah al-Fatihah, ayat 6-7]


رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا.

“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”. [Ta-Ha, ayat 114]


رَبَّنَا آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا.


“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

[al-Kahf, ayat 10]


رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ.

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

[Ali Imran, ayat 8]


اللَّهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ أَنْتَ


تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنْ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ

تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.


“Ya Allah, Tuhan Malaikat Jibril, Mikail dan Israfil, Tuhan pencipta langit dan bumi, Tuhan yang Maha Mengetahui semua yang ghaib dan nyata. Engkaulah yang akan menghakimi para hamba-Mu mengenai apa sahaja yang mereka perselisihkan. Dengan izin-Mu berilah aku petunjuk memilih kebenaran dari apa yang mereka perselisihkan. Engkaulah yang memberi petunjuk kepada siapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus.”

[Shahih Muslim, hadis no: 77].

Ya Allah, peliharalah diriku, suamiku dan anak-anakku akan dalam menjaga adab-adab dalam menuntut ilmuMu yang amat luas ini... Berkati dan rahmatilah segala ilmu yang kami pelajari serta berikanlah kami kejayaan di dunia dan di akhirat... Ameen...

Friday 1 October 2010

Cabaran Permulaan Fasa Penulisan PhD : Penulisan Abstrak dan Pengesahan Tajuk Tesis

Pada tahun ketiga PhD, rata-rata calon PhD akan memulakan fasa penulisan tesis atau 'writing up stage'. Untuk memulakan penulisan tesis ini bukanlah mudah (bagi saya). Di sini saya catatkan dua perkara penting yang mungkin boleh digunapakai kepada sesiapa yang sedang berniat untuk memulakan fasa ini.

Penulisan Abstrak

Saya mula merangka abstrak tesis yang mengandungi serba ringkas tetapi jelas penerangan mengenai objektif, kaedah yang digunakan (methodology), keputusan uang diperolehi dan sumbangannya dalam penyelidikan. Namun, ianya tidaklah mudah. Walaupun hanya satu mukasurat sahaja, tetapi jika ianya tidak dapat membayangkan dengan jelas tentang penyelidikan kita, sudah pasti ia akan mengundang 'bahaya' ketika pemeriksa membacanya. Majoriti pemeriksa (yang terdiri dari pemeriksa luar universiti dan dalam universiti), perkara pertama yang mereka akan lihat ialah abstrak. Oleh itu, pastikan isinya padat dan mengandungi semua maklumat yang saya nyatakan di atas.

Pengesahan tajuk tesis

Penukaran tajuk tesis sepatutnya tidak berlaku di tahun terakhir penyelidikan. Tetapi, di makmal saya, ramai calon-calon PhD ini mengalami dilema penukaran tajuk tesis pada tahun ketiga. Tetapi jangan panik! Penukaran tajuk ini akan dicadangkan oleh penyelia bagi memastikan ianya bersesuaian dengan keputusan yang kita perolehi dari semua eksperimen-eksperimen yang telah dijalankan sepanjang tempoh dua tahun lebih. Jika kita tidak menukar tajuk yang bersesuaian, kemungkinan penulisan dan sumbangan terhadap penyelidikan tidak akan dapat dilihat dengan jelas. Ini pada pandangan saya yang sentiasa cuba memahami tujuan penyelia membuat sesuatu tindakan kepada calon PhD ini. Mereka lebih makan garam dari kami(calon PhD), dan mereka telah berhadapan dengan pelbagai situasi jatuh, bangun, suka, duka calon PhD ini semasa sesi viva (fasa terakhir PhD). Bagi mengelakkan pelajar-pelajar mereka berhadapan dengan sebarang kesukaran semasa fasa terakhir tersebut, mereka akan cuba membantu pelajar-pelajarnya sedaya upaya.

Oleh itu, saya sarankan pengesahan tajuk tesis ini haruslah dibuat seawal mungkin sebelum bermulanya fasa penulisan (sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum tamat tempoh pengajian). Iaitu berdasarkan keputusan yang telah kita perolehi pada ketika itu. Jika tajuk yang dipersetujui sebelum ini kekal sama, sudah pasti tiada masalah. Namun, bagi calon PhD yang dikehendaki menukar tajuk di saat-saat akhir ini, sentiasalah cuba berfikiran positif. Semua yang berlaku ada hikmah disebaliknya. Mungkin kita akan berasa lemah, kurang bersemangat, atau 'marah' dengan tindakan penyelia kita, tetapi, itu semua hanya membuang masa kita dan mungkin akan mejadikan kita lebih lemah. Jalan yang terbaik (yang hasrus diambil) ialah kembalilah dan mengadulah hanya kepada yang Maha Esa. Moga Allah, dengan rahmatNya, akan membantu hamba-hambaNya yang sedang menuntut ilmu dan yang sedang dalam kesukaran... Ameen