Introduction

Firman Allah bermaksud,
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (Surah Al-Baqarah ayat 286)

Friday 13 August 2010

Cabaran berpuasa


Alhamdulillah...

Ramadhan datang mengunjungi kita kembali.. Dan kita masih lagi bernafas di bumi Allah ini. Selagi kita bernafas, selagi kudrat kita mengizinkan kita berpuasa, maka wajib bagi kita berpuasa. Setiap kali datangnya bulan yang penuh barakah ini, hati pasti rasa gembira dan syukur. Bersyukur kerana dapat mengerjakan ibadah puasa, terawikh dan tahajjud... Ibadah sunat yang tidak berkesampatan dilakukan di bulan-bulan lain kecuali bulan Ramadhan. Istimewannya bulan ini... Ahlan Ramadann...

Semalam, semasa mengerjakan terawikh di malam 1 Ramadan, hati rasa begitu sayu... terutama apabila Imam membaca surah Al-Baqarah, bermula dengan Alif.. Lam.. Mimm..
Bulan ini bulan di mana turunnya Al-Quran, mukjizat teragung Nabi Muhammad saw.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud,

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.

Dan Allah berfirman pada ayat 253 yang bermaksud:
Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan dan Kami berikan Nabi Isa Ibni Mariam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Rohulqudus (Jibril) dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbullah di antara mereka: Orang yang beriman dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya

Ayat ini menerangkan bahawa Allah telah memberikan Nabi Muhammad saw kelebihan terutamanya mukjizat terbesar baginda, Al_Quran nur Karim.



Cabaran menahan nafsu

Dalam saya melayari blog-blog ustaz dan ustazah yang sering saya jadikan medium santapan rohani, terdapat penerangan berkenaan salah satu cabaran berpuasa, iaitu cabaran menahan nafsu bagi seorang suami atau isteri. Untuk pasangan suami isteri, mereka diharamkan bersetubuh di waktu siang hari di dalam bulan Ramadhan. Jika terlanjur, perlu membayar fidyah. Oleh itu, kesabaran menahan nafsu antara salah satu ujian Allah ke atas hambaNya.

Dalam hal ini, Allah telah berfirman yang maksudnya,

Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib) dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertakwa.

Cabaran melatih anak berpuasa

Tahun ini, anak sulung saya berumur 5 tahun. Bulan Ramadhan ini, genap usianya 5 tahun 5 bulan. Adakah ianya masa yang sesuai untuk melatihnya berpuasa?

Melihat pengalaman rakan-rakan, ada yang telah memulakan latihan berpuasa untuk anak-anak mereka seawal 5 tahun. Manakala, ada di antara mereka yang mula agak lewat.
Mengikut pengalaman saya pula, agak lewat memulakan latihan berpuasa dan dapat berpuasa penuh ketika usia 11 tahun. Tetapi, berdasarkan pemerhatian saya kepada cara didikan abang-abang dan kakak-kakak saya, anak-anak mereka telah dapat berpuasa penuh pada usia 7 hingga 8 tahun.

Cara latihan yang saya berikan kepada anak saya bermula dari puasa pada jam 11 pagi hingga ke waktu berbuka puasa 8.40 malam (musim Summer di UK tahun 2010, tempoh berpuasa agak lama). Alhamdulillah, beliau berjaya setelah dekat 10 kali meminta izin untu makan kek coklat. Saya hanya berkata kepada beliau supaya bersabar dan kita akan bebuka pada mahgrib nanti yang tidak sampai 2 jam lagi dan beliau boleh makan 2 potong kek coklat kegemarannya. Sebenarnya, ujian berpuasa beliau bertambah dengan godaan melihat adik beliau (yang berusia 3 tahun lebih) memakan kek coklat tersebut dihadapannya. Saya tidak melarang si adik, dengan niat supaya si kakak lebih sabar. Walaupun beberapa kali menitiskan air mata, namun beliau berjaya bersabar... Alhamdulillah... Moga Allah akan membantu saya dalam mendidik anak-anak saya mengerjakan Ibadah puasa yang sempurna...Ameen..

Buat pembaca sekelian, kesabaran adalah kunci utama kepada cabaran-cabaran yang dinyatakan sebelum ini. Sememanngya ada banyak lagi cabaran-cabaran lain yang tidak saya sentuh di sini seperti cabaran menahan diri dari melakukan maksiat, mengumpat, membazir dan perkara-perkara lain lagi yang menyumbang kepada dosa-dosa kecil dan besar.
Perbanyakan membuat amalan-amalan sunat, bersedekah dan bertadarrus. InsyaAllah, ibadah puasa kita akan diberkati Allah...

Selamat berpuasa...

No comments:

Post a Comment